Sunday, July 20, 2014

Masalah Susu Ibu Kurang Membuatkan Stress Berpanjangan; Tips dan Cara Mengatasi

Pada sesiapa yang mengalami masalah kekurangan susu ibu, pastinya akan mewujudkan stress secara tiba-tiba di dalam diri.

Sedih, kecewa, rasa bersalah, down, tension, semua perasaan ini pernah saya alami akibat kekurangan susu badan secara mendadak ketika Amni berusia 5 bulan.

Pada masa itu, saya masih bekerja dan saya memang mengepam susu di pejabat. Tetapi masalah ini tiba-tiba muncul membuatkan perkara ini menjejaskan emosi saya secara total. Hati ibu mana yang tidak sedih apabila tiba-tiba tidak dapat menyediakan susu yang secukupnya di tempat kerja?

Terbayang sudah di fikiran untuk mencampurkan susu formula pada si anak, tetapi naluri keibuan tetap mengatakan, sabar dahulu, mungkin masalah ini hanya untuk seminggu saja?

Ya, entri kali ni saya kongsikan buat ibu-ibu yang mengalami masalah kekurangan susu ibu di tempat kerja. Ya, isu ini saya rasakan sangat sensitif, tetapi dengan niat untuk membantu ibu-ibu di luar sana, apatah lagi, saya melalui keperitan ini melalui pengalaman sendiri, apalah salahnya saya berkongsi perasaan dan tips-tips yang pernah saya lakukan pada masa dahulu untuk mengatasi masalah ini.

Pengalaman saya sebagai ibu menyusu

Untuk anak pertama, saya tidak berjaya menyusukannya secara penuh sehingga usianya setahun lagi. Saya telah mencampurkan susu kepada anak pertama sejak usianya 4 bulan, akibat masalah yang sama iaitu susu saya mulai berkurang.

Oleh itu, untuk anak yang kedua, saya berazam menyusukannya penuh sehingga dua tahun.

Saya telah selidiki apa masalah saya untuk anak yang pertama, iaitu saya kurang melakukan stimulasi. Jadi, untuk persediaan menerima cahayamata kedua, saya telah mengorek ilmu penyusuan badan secara sedalam-dalamnya sehinggalah anak itu lahir dan pencarian ilmu masih diteruskan sepanjang penyusuan.

Alhamdulillah, ternyata semasa berpantang, susu saya untuk anak kedua memang melimpah ruah. Saya hanya mula mengepam susu untuk dijadikan stok pada bulan kedua sebagai persediaan masuk kerja dan saya teruskan penyusuan secara eksklusif sehinggalah ujian Allah datang menimpa, susu badan saya mulai berkurang!

Kesalahan saya pada masa dahulu, adalah saya tidak menyenaraikan apakah masalah-masalah utama saya! Saya hanya mengagak-agak satu persatu masalah saya dan ternyata ia kurang membantu saya untuk mengatasi masalah kekurangan susu badan ini.

Jadi, pada hari ini, saya ingin membantu para ibu yang mengalami masalah kekurangan susu seperti yang saya alami mencari satu persatu masalah yang anda hadapi dan bersegeralah mengatasinya secepat mungkin tanpa melengah-lengahkan tindakan penyelesaian masalah itu.

Masalah yang saya hadapi penyebab kekurangan susu badan


Masalah pertama :
1. Pam susu saya bermasalah

Sebenarnya saya menyedari pam saya mengalami sedikit masalah, iaitu sedutannya mulai berkurang dan tidak seperti dulu. Tetapi entah kenapa saya membiarkan masalah ini berlanjutan, yang menyebabkan masa mengepam susu dari 20 minit menjadi satu jam untuk satu sesi. Itu pun, saya pakai double pam, iaitu medela freestyle yang membolehkan saya menjimatkan masa mengepam kedua-dua belah payudara sekaligus, jika tidak, saya harus meluangkan masa dua jam untuk mengepam susu badan.

Setelah dibiarkan selama berminggu-minggu, ini menyebabkan susu di dalam badan telah tersekat dan saya mengalami clog duct dan akhirnya bengkak susu.


Masalah kedua
2. Sesi Mengepam susu hanya 2 kali sehari 

Sepanjang bekerja, pada suatu ketika saya telah mengurangkan sesi mengepam susu saya menjadi 2 kali sahaja, iaitu jam 10 pagi dan jam 2 petang sahaja yang kadangkala meleret di bawa hingga ke petang. Ini disebabkan pada suatu ketika itu saya mempunyai jadual mengajar yang sangat penuh dan saya tidak mencuri masa untuk mengepam setiap 2 jam seperti biasa. 


Masalah ketiga
3. Kurang minum air

Dalam kurang sedar, rupa-rupanya pengambilan air saya juga berkurang dari 3 liter sehari, menjadi hanya 1 -2liter sahaja sehari. Ini boleh dilihat dari jumlah air botol yang saya bawa dari rumah. Biasanya saya akan menambah untuk sesi tengahari dan petang, namun pada suatu ketika itu saya hanya menghabiskan 1 botol air sahaja sepanjang hari bekerja.

Jadi, disebabkan ketiga-tiga masalah yang saya cipta sendiri TANPA SAYA SEDAR, saya telah mengalami kekurangan susu yang drastik! Mulalah saya berasa sangat sedih dan kecewa, berfikir-fikir apalah sebenarnya salah saya yang menyebabkan susu badan berkurang. Bila sediah, memang otak asyik berfikir masalah, menyebabkan keadaan diri di pejabat semakin kurang bermaya, produktiviti kerja terganggu, dicampur dengan beban kerja yang banyak, menyebabkan saya mengalami tekanan perasaan yang besar pada masa itu.

Siapa yang tak sayang anak? Oh, anak baru 5 bulan, manakan boleh ditambah makanan lain sebagai pengganti susu yang mula berkurang ini? Stress!!

Tindakan saya untuk mengatasi masalah ini


Tindakan Pertama
1. Servis pam dan beli pam manual sebagai pengganti

Setelah membiarkan masalah melanda berminggu-minggu, saya hantar juga medela freestlye saya untuk diservis selama seminggu dan pada masa yang sama, saya telah membeli pam alternatif, iatu pam manual dari jenama Unimom, hasil cadangan rakan sekerja.

Ya, setelah sampai pam yang baru, rupa-rupanya susu yang dapat dipam adalah lebih banyak dari musim kegelisahan yang saya alami itu. Ya Allah, terasa bersalahnya pada diri dan anak kerana membiarkan masalah ini berlanjutan, tetapi, padanlah dengan muka sebab jumlah susu yang dipam masih tidak dapat sama dengan jumlah susu yang dipam semasa susu tengah banyak sebelum ini.


Tindakan kedua
2. Berurut

Saya usahakan diri untuk pergi berurut setelah beberapa kali terkena demam bengkak susu. Tindakan saya melengah-lengahkan diri membetulkan pam susu itu menyebabkan susu saya telah mulai berkurang. Memang saya mencari-cari tukang urut di sekitar tempat tinggal saya ini dan pergi berurut lebih dari tiga kali untuk melegakan urat yang bengkak pada payudara saya. Urat yang terjejas sama adalah urat susu di bawah ketiak dan juga di belakang badan.

Jika puan-puan terasa susu mulai lambat mengalir, segeralah mengurut sendiri di bahagian ketiak membawa ke bahagian payudara dan juga rajin-rajinkan diri mengurut di belakang badan, mintalah suami yang tolong urutkan :)


Tindakan ketiga
3. Disiplinkan diri mencari masa mengepam setiap 2-3 jam sepanjang waktu bekerja

Ya, walau apa pun halangan, anda MESTI dan wajib untuk mencuri masa walau macamana sekali pun untuk mengepam setiap 2 jam atau paling lewat 3 jam setiap sesi pengepaman. Tindakan anda melengah-lengahkan sesi mengepam menyebabkan kurang stimulasi dan susu akan mula berkurang.


Tindakan keempat
4. Lebihkan pengambilan air

Ini juga berkaitan dengan disiplin diri. Rajin-rajinkan untuk mengambil 3 liter air sehari dan jangan skip untuk minum air walaupun anda sedang bekerja. Jika terlintas di fikiran, oh air, sila terus minum air itu, nanti bila anda sudah mula fokus bekerja, anda akan lupa untuk minum air! Betul tak puan-puan? 

Ya, jika betul, terus set di kepala, setiap 10minit, berhenti dan minumlah seteguk atau dua teguk air dan ini akan membantu anda untuk mengambil cukup air kosong sepanjang hari bekerja.


Tindakan kelima
5. Ambil pemecah lemak

Saya pilih untuk mengambil lecithin Shaklee untuk memecahkan lemak yang telah terkumpul akibat tindakan melengahkan waktu mengepam susu itu. Ada nampak bezanya bila kita mengambil lecithin dengan tidak mengambil lecithin. Pada saya memang lecithin membantu saya melancarkan pengaliran susu akibat bengkak susu tetapi bagus juga disususli dengan urutan.


Tindakan keenam
6. Berdoa

Ya, Allah, memang pada itu tidak lekang doa di mulut, apa sahaja doa yang didengar untuk memperbanyakkan susu terus saya amalkan. Antara yang menjadi amalan saya ialah :
  1. Surah al-kauthar
  2. Surah al-Baqarah ayat 60
  3. Surah al-hujurat
  4. Surah al-waqiah
  5. Zikir y'a matin 100x
Memang masa ini, saya sangat bersungguh-sungguh meminta diperbanyakkan semula susu dengan penuh sesalan di dada. Ya Allah, terasa sungguh2 bersalah dan terasa betul dengan ujian ini.


Tindakan ketujuh
7. Makan makanan penambah susu

Apa-apa sahaja yang bantu menambahkan susu, saya akan makan. Contohnya lobak putih, kurma, sup berhalba, air horlicks (ya, horlicks memang sangat membantu!), pegaga, jantung pisang dan macam-macam lagilah yang dengar2 boleh perbanyakkan susu badan semua saya makan :) Boleh tengok senarai makanan yang saya ambil untuk menambahkan susu badan di sini.


Tindakan kelapan
8. Disiplin makan supplement

Sebelum ini saya makan supplement ala kadar, sekadar mana yang penting saja, yelah kan, masa tu takde masalah dengan penyusuan, jadi saya akan makan mana yang saya ingat saja. Akibat dari peristiwa ini, saya lebih disiplin dan istiqamah dalam mengambil supplement ini setiap hari dan mengikut aturan yang betul.


Tindakan kesembilan
9. Banyakkan berehat untuk mengurangkan stress

Jika anda rasa anda terlalu penat, take five dan berehatlah. Luangkan masa untuk mengeluarkan emosi tekanan tadi kepada emosi yang menggembirakan. Jika terlalu letih saya memang akan melelapkan mata seketika dan melonggarkan otot-otot badan supaya tidak bertambah tekanan yang dialami pada masa itu.


Tindakan kesepuluh
10. Kerap mandi air panas

Mandi air panas membantu melancarkan susu di dalam badan. Dan ia juga membantu mengurangkan stress badan


Tindakan kesebelas
11. Luangkan lebih masa berharga bersama anak untuk direct feed

Ada ketikanya memang saya mengambil cuti sehari untuk memperbanyakkan direct feed supaya menambahkan lagi stimulasi untuk pengeluaran susu badan kepada si manja tersayang. Inilah antara pengorbanan yang saya buat untuk kesejahteraan anak dan juga ibu yang menyusukan.


Tindakan kedua belas
12. Power pumping

Disiplinkan diri untuk mengamalkan power pumping sekiranya susu sudah menunjukkan mulai berkurang. Jangan malas untuk bangun malam untuk berpower pumping kerana ia akan memberikan hasil yang terbaik untuk hari seterusnya.

Bagaimana power pumping? Power pumping dimulakan pada jam 12 malam, di mana anda mengepam sebelah payudara selama 10 minit dan rehat selama 10 minit. Semasa rehat, tukar pula mengepam payudara sebelah lagi selama 10 minit dan langkah ditukar ke sebelah pula sehingga sejam.

Jika anda menggunakan double pam, lebih mudah! Pamlah kedua2 payudara selama 10 minit, rehat sepuluh minit dan ulang pam 10 minit, rehat 10 minit sehinggalah sejam :) Jika anda rajin melakukan power pumping setiap malam, insyaallah susu akan banyak dihasilkan oleh badan pada hari-hari berikutnya.



Ya, inilah 12 tindakan yang saya ambil yang saya masih ingat sehingga sekarang. Untuk mengembalikan susu ke paras yang normal seperti biasa mengambil masa yang lama juga. Ia memang menjadi pengajaran YANG CUKUP BESAR yang takkan saya lupa sampai bila-bila! Hanya disebabkan saya fikir masalah pam adalah masalah yang remeh, ia telah menjadi masalah yang besar dan memberi kesan yang mendalam terhadap emosi diri sendiri :)


Nasihat saya kepada ibu berpantang untuk mengumpul susu


Ya, nasihat ini saya tujukan buat diri sendiri sebenarnya. Seelok-eloknya sewaktu berpantang, cepat-cepat disiplinkan diri untuk membuat stok susu sebanyak yang mungkin! Buat tanpa sebarang alasan kerana apabila anda mengalami masalah kekurangan susu, anda akan merindui stok-stok susu yang melimpah ruah itu dan mula akan menyesal kerana tidak membuat stok susu.

Simpanlah sebahagian dari susu-susu itu dalam deep freezer seboleh-bolehnya untuk kegunaan anda di waktu kritikal seperti keadaan yang tidak terduga. Misalnya anda terpaksa menghadiri mesyuarat atau sebagainya, daripada sepanjang hari bekerja anda dapat mengepam 4 sesi, anda telah ada stok susu yang banyak di rumah sebagai back up untuk hari itu untuk diberikan kepada si manja, dan pastikan esoknya anda kembali mengepam sebanyak 4 sesi, tanpa mengurangkan sesi mengepam.

Gunalah stok yang paling lama, dan labelkan stok anda kerana stok yang lama juga akan dibazirkan jika anda tidak menggunakannya. jadi, anda perlu bijak menguruskan stok simpanan anda.


Tips untuk memberikan stok susu kepada bayi

Jika anda mengepam sebanyak 4 kali, simpan 2 sebagai stok dan 2 stok lagi diberikan kepada pengasuh hari keesokannya. kerana, bayi anda berhak mendapatkan susu yang agak fresh untuk diminum sepanjang waktu bekerja (waktu siang itu). Pada malam hari, elakkan dari memberi susu simpanan, amalkan direct feed secara total, untuk kepentingan si manja dan sekaligus dapat memperbanyakkan lagi susu badan anda. 


Wah, panjang pula entri kali ini. Semua ini dikeluarkan dari hati mengikut pengalaman saya sendiri. Pengalaman yang berharga ini boleh dijadikan panduan saya sendiri untuk anak ketiga nanti, insyaallah :) eh, berangan pulak, tapi memang peristiwa ini memberi pengajaran yang besar yang tidak boleh saya lupakan seumur hidup saya ini.

Tetapi insyaallah, untuk anak ketiga nanti, saya akan direct feed sebab saya sudah bekerja dari rumah. Ini akan memberikan pengalaman yang baru kepada diri saya pula! Alhamdulillah, saya telah melalui pengalaman anak yang bercampur susu, pengalaman mengumpul stok dan menyusukan semasa bekerja dan insyaallah saya akan kutip pula pengalaman menyusukan anak sepenuhnya secara direct feed selepas ini.

Alhamdulillah, anak saya yang kedua telah setahun 8 bulan, lagi 4 bulan untuk dicukupkan penyusuan ibu sehingga dua tahun. Alhamdulillah, kini apabila Amni bersama saya memang dia terus reject botol susu, jika ada hal yang tidak dapat dielakkan saja seperti dihantar ke pengasuh dan mungkin ketika ketiadaan saya, Amni akan minum botol. Semoga doa saya untuk menyusukan Amni sehingga dua tahun diperkenankan Allah :)


Buat ibu-ibu yang mengalami kekurangan susu badan, anggaplah satu perkara, Allah turunkan ujian ini buat kita untuk menduga, samada kita kuat atau tidak untuk menggalas tanggungjawab penyusuan kepada anak ataupun tidak. Cekalkan hati, banyakkan berdoa agar Allah sentiasa bersama kita, membantu kita di waktu-waktu sukar ini, banyakkan solat hajat, mengaji, bertaubat memohon keampunan, doa supaya susu dicukupkan mengikut keperluan anak ini. 

Bagi saya, pilihan untuk menyusukan ini di tangan ibu-ibu kerana saya telah berada dalam dua fasa penyusuan, iaitu fasa penyusuan campur dengan anak pertama dan fasa penyusuan ibu dengan anak kedua. Ini membuatkan pemikiran saya lebih terbuka memahami apakah perasaan ibu-ibu untuk kedua-dua maslaah yang dihadapi. Apa yang penting, untuk sekarang saya percaya, semua ibu cukup susunya, cuma tindakan kita dan bagaimana kita menguruskan diri dan masa mempengaruhi sama ada susu anda itu cukup ataupun tidak. apa akan terjadi jika saya biarkan pam saya rosak begitu sahaja? tentu saja saya akan memberi alasan susu saya telah kering seperti apa yang saya alami untuk anak pertama. ya, memang betul kering, kerana apa? kurang stimulasi yang cukup :)

Back to basic, pegang 3 prinsip penyusuan ini untuk berjaya di dalam penyusuan ibu;
  1. Banyakkan stimulasi
  2. Minum air 3 liter
  3. Banyakkan berdoa

Insyaallah, jika dihayati betul-betul 3 prinsip mudah ini dan diaplikasi kepada situasi sebenar, anda pasti akan berjaya! Yakinkan hati, bulatkan tekad wahai ibu-ibu yang kuat!

Sila ambil pengajaran dari cerita saya ini ya mommies! Kerana saya mahu anda semua dapat memberikan susu yang terbaik dan termahal di dunia untuk si manja tersayang, tiada yang dapat menandingi susu ibu ciptaan Allah yang terbaik dengan formulasi yang tidak dapat dicipta di dalam susu formula :)

Amni ku sayang :)



Berikan si manja segala yang terbaik, kerana keceriaan mereka, kebahagian kita :)





Salam kasih sayang,

Ainul Malik

1 comment:

Ayu said...

susu ibu adalah yang terbaik, Luv Breastfeeding! :)